Tarbiyatul aulad -cara rasulullah
Bayangkan
sebuah masjid yang mana Imam dan seluruh jemaah berhenti seketika
supaya seorang kanak-kanak dapat berpuas hati dengan permainannya.
Bayangkan masjid di mana Imamnya solat sambil memegang anak kecil di pangkuannya.
Bayangkan masjid di mana bunyi tangisan seorang bayi dapat mengubah
niat seorang Imam daripada memanjangkan solat kepada memendekkan solat
jemaah yang dipimpinnya ketika itu.
Inilah dia masjid yang
suatu ketika dahulu dipimpin oleh Rasulullah SAW. Berikut adalah
contoh-contoh yang disebut di dalam hadis:
“Rasulullah datang
keluar kepada kami untuk dua solat yang terkemudian (zuhur dan asar),
membawa Hasan atau Hussein. Rasulullah kemudiannya pergi ke depan dan
meletakkannya di bawah dan mengangkat takbir untuk bersembahyang dan
mula solat. Semasa solat, baginda sujud sangat lama, jadi aku mengangkat
kepalaku dan seorang budak berada di atas Rasulullah SAW yang sedang
sujud. Lalu aku kembali bersujud. Setelah selesai sembahyang, para
sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, di tengah-tengah sembahyang mu itu
tadi, kamu bersujud dan memanjangkannya sehingga kami menyangka sesuatu
berlaku kepadamu atau kamu sedang menerima wahyu!” Baginda berkata:
“Bukan kedua-dua itu yang terjadi. Sebenarnya cucuku menunggangku, dan
aku tak mahu mempercepatkannya sampailah dia puas hati dengan
kehendaknya itu.”
(Diriwayatkan Nasaa’I, Ibn Asaakir, dan Haakim).
“Rasulullah (adakalanya) bersembahyang sambil memegang Umaamah binti
Zaynab binti Rasulillah. Baginda meletakkannya di bawah ketika bersujud
dan mengangkatnya kembali apabila baginda bangun berdiri.”
(Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila aku berdiri dalam sembahyang, aku berniat memanjangkannya,
tetapi apabila terdengar tangisan seorang anak kecil, aku pendekkannya,
supaya aku tidak menyusahkan ibu kepada anak itu.”
(Diriwayatkan Bukhari).
Inilah dia senario-senario yang menggambarkan kepada kita betapa
kanak-kanak, bayi dan anak-anak kecil biasa menjadi sebahagian daripada
masjid Nabi SAW. Senario ini menunjukkan betapa Nabi SAW memahami tabiat
anak-anak kecil ini dan baginda melayan kerenah dan keperluan mereka
untuk keselesaan mereka di masjid.
Adakah kita dapat saksikan perkara sebegini berlaku di masjid-masjid kita pada hari ini?
Kita hanya akan dapat lihat seorang budak dipegang dan diberitahu
supaya “duduk diam-diam dan senyap!” kerana mungkin dia baru sahaja
berlari di tengah-tengah saf jemaah yang sedang solat.
Ataupun
kita hanya akan dengar, “Kak, boleh tak bawa budak tu keluar?”
dikatakan kepada seorang perempuan kerana anaknya menangis.
Ataupun lagi dahsyat, kita dapat membaca papan tanda di masjid-masjid: “Kanak-kanak tidak dibenarkan di ruangan Masjid.”
---------------------------------------------------
Keperluan untuk masjid-masjid kita mengikuti jejak langkah Masjid Nabi
SAW adalah sangat besar. Kita perlu mengalu-alukan kanak-kanak bukannya
menjarakkan mereka daripada masjid.
Kenapa?
Untuk kaum ibu muslimah dan juga untuk masa depan anak-anak kita (yang akan memimpin masjid-masjid di masa hadapan).

---------------------------------------------------
Tiada Kanak-Kanak = Tiada Kaum Ibu
Apabila kanak-kanak tidak dialukan untuk datang ke masjid, kebiasaannya para ibu juga tidak akan dapat ke masjid.
Selepas seharian penat di rumah (contohnya) dengan anak-anak yang
mungkin bising, dan menguruskan hal rumah tangga, pinggan-pinggan kotor
di dapur dan sebagainya, ke mana lagi tempat untuk ibu-ibu kita pergi
belajar ilmu atau bersosial? Ke mana lagi kita mahu anak-anak mereka
diberikan peluang untuk berlari di ruang yang lebih luas bersama rakan
sebaya mereka? Ke mana lagi mereka boleh keluar “tukar angin” setelah
seharian di rumah?
Kalaulah bukan di masjid, mereka mungkin
akan pergi ke tempat-tempat yang terisi dengan muzik-muzik tidak elok,
mendedahkan pakaian tidak sopan, dan iklan-iklan yang tidak senonoh
seperti kompleks beli belah.
Masjid kitalah yang sepatutnya
menjadi pusat komuniti yang memberikan peluang kepada ibu-ibu ini dan
juga anak-anak mereka untuk membina hubungan bersama rakan-rakan,
mendapat tazkirah mingguan, berbincang sesama sahabat mereka samaada
anak-anak mereka perlukan penjaga bayi muslimah atau bagaimana
menyediakan resepi yang sihat untuk keluarga dan sebagainya.
--------------------------------------------
Tiada Kanak-Kanak = Tiada Masa Depan
Apabila masjid tidak mahu kanak-kanak datang, mereka akan mencari
tempat lain. Apatah lagi bila di masjid, kanak-kanak seringkali dimarahi
apabil bising, dikritik tentang pakaian mereka, apabila mereka bermain
bola dan tidak sembahyang sunat contohnya.
Sedangkan di laman
sekolah, mereka akan dipuji oleh rakan-rakan apabila mereka membuat
lawak, pakaian mereka cantik, ataupun sekiranya mereka bagus bersukan.
Jadi anda rasa di tempat manakah anak-anak kita akan lebih suka untuk meluangkan masa mereka?
Kanak-kanak akan gembira di tempat yang mereka rasa mereka
dialu-alukan. Kalau kita mahu anak-anak kita rasakan mereka punya tempat
dalam komuniti Muslim, mereka mestilah terasa dialu-alukan di masjid.
Kanak-kanak yang berlari di ruangan masjid atau bermain bola di kawasan
lot parking masjid bukanlah petanda bahawa sesebuah masjid itu tidak
bagus atau sekalipun petanda bahawa perangai kanak-kanak itu buruk.
Ianya bahkan petanda kepada komuniti yang sedang bercambah membesar di
mana kanak-kanak membina hubungan persahabatan dan menghubungkan hati
dan minda mereka kepada masjid.
Kanak-kanak perlu membina
hubungan ini daripada awal umur mereka. Apabila mereka telah besar lagi
dan lebih selesa ‘melepak’ di tempat lain, pada waktu itu mungkin kita
telah terlewat untuk membina hubungan dengan masjid di dalam hati
mereka.
Toleransi kepada sedikit bunyi bising dan permainan
mereka adalah satu pengorbanan kecil untuk membina masyarakat muslim
yang positif.
--------------------------------------------
Kerenah Budak-Budak.
Sudah tentu, kanak-kanak boleh mengganggu jemaah yang sedang solat.
Jarang ayah ibu dapat bersembahyang tanpa gangguan tumpuan oleh
anak-anak ataupun bayi mereka samaada di rumah ataupun di masjid.
Inilah sifat semula jadi yang Allah ciptakan dalam jiwa kanak-kanak-
mereka mempunyai semangat dan tenaga yang berlebihan dan kurang kawalan
diri.
Rasulullah SAW, mengetahui perihal kanak-kanak ini,
mengajar kita bagaimana mengawal kanak-kanak. Baginda meluruskan
kanak-kanak dengan kasih sayang dan perasaan kasihan.
Berikut adalah contoh bagaimana Rasulullah berinteraksi dengan Anas bin Malik yang menjadi budak suruhannya ketika masih kecil:
Rasulullah pernah menghantar Anas untuk suatu urusan dan Anas meriwayatkan bahawa:
“Aku pergi (untuk laksanakan suruhan Nabi SAW) sehinggalah aku
terserempak dengan kanak-kanak yang bermain di jalanan. Nabi SAW
kemudiannya tiba dan mendapatkan aku dari belakang leherku. Ketika aku
memandang baginda, aku mendapatinya tersenyum dan berkata: “Unais (nama
manja yang Nabi panggilkan Anas), adakah kamu pergi ke tempat yang aku
suruh?” Anas berkata, “Aku berkhidmat untuk baginda selama 9 tahun, tapi
aku tidak mendapati walau sekalipun baginda SAW berkata kepadaku
"mengapa aku buat begini, atau perkara yang aku terabaikan, atau mengapa
aku tidak buat begini begini."
(Diriwayatkan oleh Muslim)
Rasulullah SAW tidak pernah memarahi Anas sekiranya dia terlupa suruhan baginda, atau apapun selama 9 tahun.
Dalam contoh lain, seorang budak dibawa kepada baginda Nabi SAW kerana dia melempar batu kepada pokok dan mencuri kurma.
Nabi SAW berkata: “Wahai anak, mengapa kamu melempar batu kepada pokok kurma?”
Dia berkata: “Untuk makan.”
Nabi SAW berkata: “Jangan lempar batu kepada pokok-pokok tersebut, kamu makanlah apa yang jatuh di bawah.”
Baginda kemudiannya menyapu tangannya di atas kepala budak tersebut dan berkata: “Ya Allah, penuhkanlah perutnya.”
(Diriwayatkan Abu Daud)
Rasulullah tidak menghukum budak itu, tetapi baginda berdoa untuknya.
-------------------------------------------
Lima Tip Untuk Menguruskan Kanak-Kanak di Masjid
Masjid yang mengalukan kedatangan kanak-kanak tidak semestinya menjadi tempat yang huru-hara dan bising.
-------------------------------------------
1. Tegur Mereka Dengan Lembut
Anas bin Malik mengatakan bahawa “Rasulullah SAW tidak menggunakan caci maki atau bahasa yang buruk mahupun sumpah seranah.”
(Riwayat Bukhari)
Ingatlah, kanak-kanak tidak berdosa. Tetapi kita yang dewasa ini akan
berdosa sekiranya kita menggunakan bahasa yang kasar dengan mereka.
Allah tidak menghukum kanak-kanak atas perbuatan mereka, tetapi Allah
akan pasti menghukum cara kita berkomunikasi dengan kanak-kanak
sekeliling kita.
Tugas kita adalah untuk mengingatkan
kanak-kanak dengan baik tentang etika di dalam masjid. Kita tidak boleh
memaksa kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Kanak-kanak di semua
peringkat umur akan mendengar kepada seseorang yang senyum, memberikan
salam dan berbual dengan mereka, yang menunjukkan ambil berat tentang
keperluan mereka.
Kanak-kanak akan pasti mengabaikan, serta mengutuk mereka yang melayan mereka dengan marah, kasar dan cacian.
2. Tawarkan Pertolongan
Daripada kita menjeling-jeling ayah yang mengejar anaknya yang aktif
berlari, ataupun ibu yang bersusah payah menenangkan bayinya, ada
eloknya kita tawarkan pertolongan kita.
Pertanyaan seperti
“Boleh saya tolong jaga anak awak sementara awak solat?” atau “kamu nak
saya pegangkan beg lampin tu sekejap ke?” dapat memberikan pahala
sedekah kepada kita, tambahan pula dapat membantu ibu bapa itu mengawal
anak mereka.
3. Sesi Peringatan
Masjid boleh berhenti memberikan peringatan sebentar kepada ibu bapa dan anak-anak tentang peraturan dan etika di dalam masjid.
4. Bina Fasiliti Mesra Kanak-Kanak.
Contohnya: Pastikan tandas masjid ada meja menukar lampin untuk
mengelak daripada bau busuk di atas karpet sembahyang. Sediakan bilik
khas atau penghadang bagi tempat ibu-ibu menyusu. Sediakan penyapu atau
vakum untuk ibu bapa bersihkan tempat itu setelah membersihkan anak-anak
mereka. Mushaf al-Quran pula biarlah ditempatkan tinggi sedikit agar
tak berada dalam capaian kanak-kanak.
5. Sediakan Bilik Ibu Bapa
Sediakan bilik asing untuk ibu bapa sembahyang bersama dengan anak-anak
mereka. Mungkin juga letakkan di situ mainan kanak-kanak . Juga
tempatkan penjaga kanak-kanak untuk waktu-waktu bila masjid dijangka
menerima jemaah yang ramai seperti solat Jumaat ataupun Terawih atau
ketika kuliah besar-besaran. Kebanyakan ibu bapa juga pasti sanggup
membayar sedikit wang untuk mendengar kuliah atau sembahyang tanpa
gangguan anak-anak.
Pada bulan Ramadhan di mana masjid sesak
dengan orang ramai ini, mari kita mencabar masjid-masjid kita untuk
mengalukan kedatangan kanak-kanak sepertimana perhatian, ambil berat dan
kasih sayang yang ditunjukkan oleh Masjid Nabi SAW.
nota hati :comelnye rasulullah melayani kanak-kanak :')
No comments:
Post a Comment