Tuesday, November 4, 2014

Siapa selemah-lemah manusia?



SIAPA SELEMAH-LEMAH MANUSIA?

Disediakan oleh :
Nurulaneeyamirah binti Razali
Sarjana Pengajian Islam Dakwah dan Kepimpinan
Universiti Kebangsaan Malaysia.

      Andai ditanya, siapa selemah-lemah manusia dari mana kita akan mendapat jawapannya? Kita telusuri hadis yang diriwayat oleh Abu Ya’la  :

أعْجَزَ النَّا ِ س مَنْ عَجَزَ في الدُّعَاءِ

Maksudnya : Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah dalam berdoa.

Berdoa bukanlah perkara asing dalam kehidupan kita orang Islam. Setiap hari kita tidak lekang dari berdoa. Bahkan masyarakat kita sangat sebati dengan amalan berdoa. Dalam apa jua acara, seperti majlis perkahwinan, majlis berpindah rumah dan sebagainya, doa menjadi inti daripada acara tersebut. Akan tetapi sejauh manakah kefahaman kita mengenai doa itu? Sejauh manakah penghayatan kita ketika berdoa?

       Kita dapati ada segelintir masyarakat kita yang bersikap cuai atau bosan atau tidak bersungguh-sungguh untuk berdoa. Ada di antara mereka merungut apabila pembaca doa membaca doa-doa yang panjang, berkata-kata sedang kedua tangannya menadah ke langit, sambil lewa, tidak mengaminkan doa dan malah ada juga yang langsung tidak mahu berdoa. Doa hanya setakat di bibir atau hanya tangan ditadahkan menyambut doa tetapi fikiran entah ke mana. Kelihatan berdoa itu mudah , tapi andai tanpa zouq atau rasa penuh pengharapan , doa bagaikan sia-sia.
      Kalam Sayidina Umar bagaikan satu peringatan buat kita “Aku tidak bimbang andai doaku ditolak , tapi aku bimbang andai hilangnya rasa ingin berdoa”
Soal pada hati , adakah kita punyai rasa seperti Sayidina Umar atau kita tidak risau andai hari-hari kita berlalu tanpa satu doa pun dilafazkan. Allah sudah memberi khabar gembira buat mereka yang berdoa. Di dalam surah al-baqarah 186 yang bermaksud :

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.”
Allah sudah nyatakan bahawa Dia pasti akan perkenankan, jadi mengapa kita masih punya rasa ego dan bongkak untuk meminta ? Mungkin , kitalah sebenarnya selemah-lemah manusia.

      Dalam berdoa, apa yang kita perlu adalah kesabaran. Hari ini kita meminta, andai esok masih belum dikabulkan, adakah kita perlu berputus asa dalam berdoa? Tidak ! Anda pasti doa anda tidak dikabulkan? Walhal , doa itu datang dalam berbagai warna dan rasa . Kadangkala kita tidak sedar, doa tersebut dimakbulkan . Kita minta dipanjangkan umur . Esok kita ke tempat kerja, ada kenderaan hampir melanggar kita, kita masih selamat. Bukankah Allah sudah kabulkan? Allah itu sifatnya hayyiyun karim . Allah itu pemalu. Seperti yang dinyatakan didalam hadis riwayat Abu Daud:
“Sesungguhnya Tuhan kamu Pemalu lagi Pemurah, Dia malu kepada hambaNya apabila (berdoa) mengangkat kedua tangannya memohon kepadaNya, dan mengembalikan kedua tangannya dengan tidak memberikannya apa-apa daripada rahmatNya”

        Berdoalah, Allah pasti mendengar . Jangan letakkan diri kita berada dalam ranking teratas golongan manusia yang lemah. Setiap hari, terlalu banyak nikmat yang Allah beri. Doa bukan hanya tempat untuk kita meminta, bahkan juga tanda terima kasih untuk setiap nafas dan nikmat yang Dia berikan. Walaupun hari ini kita penuh dengan dosa, Allah tetap akan mendengar doa kita. Allah bukan menyayangi mereka yang tidak pernah berbuat dosa, tapi Allah sangat sayang pada hambaNya yang berbuat dosa kemudian bertaubat. Kerna Dia tahu, kita ini bukan maksum .



hoho .
bila dah penulisan skema gini maksudnya ini esaimen.
dari pukul 1 buat, 4.30 baru habis.
baru artikel pendek.
zz

No comments: